fb fb fb fb fb

Penjawat awam didenda RM3,000, mengaku salah terima rasuah

Foto hiasan

KUANTAN, 29 April- Seorang penjawat awam didenda RM3,000 di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini, selepas mengaku bersalah menerima rasuah, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Moh Roffi Ab Rahman, 58 tahun, membuat pengakuan tersebut selepas tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menerima wang tunai RM1,600 tanpa balasan daripada dua individu ejen pengurusan jenazah yang mempunyai hubungan dengan tugas rasminya berkait kerja-kerja pengurusan jenazah.

Tertuduh pada ketika itu bertugas sebagai Penolong Pegawai Perubatan Unit Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAH), Temerloh.

Bagi setiap pertuduhan, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM3,000 dengan mengambil kira sembilan pertuduhan pilihan lain, serta memerintahkan tertuduh dihukum penjara 18 bulan, jika tidak membayar denda. 

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rifah Izzati Abdul Mutalif; manakala tertuduh diwakili peguam, Shahidah Muslimah Roslan.

ROSLINA BINTI DIN