fb fb fb fb fb

Anggota polis didakwa terima suapan, bawa tembakau kepada tahanan lokap

Anggota polis berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu

KUALA TERENGGANU, 29 April- Anggota polis berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, atas dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM1,450 sebagai balasan membawa masuk barang terlarang kepada tahanan lokap.

Tertuduh yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman melakukan perkara itu tiga tahun lepas dan mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman.

Tertuduh Muhamad Alif Abdul Jamal, 33 didakwa menerima suapan daripada seorang wanita sebagai dorongan membawa masuk tembakau kepada seorang tahanan lokap.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi sekiranya sabit kesalahan.

Bagaimanapun mahkamah menetapkan 5 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Tertuduh dibenar diikat jamin RM4,000 bagi kedua-dua pertuduhan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mariah Omar dan Pegawai Pendakwa SPRM, Nur Raihan Mohd Yusof manakala tertuduh diwakili peguam, Masliela Ismail.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI