fb fb fb fb fb

Dua warga Nigeria dihukum penjara, sebat di Mahkamah Tinggi Ayer Keroh

Kebechi Thomas Nwankwu, dan Happy Akhidenor Aituaje dijatuhkan hukuman penjara dan sebat di Mahkamah Tinggi Ayer Keroh

AYER KEROH, 29 April- Mahkamah Tinggi Ayer Keroh menjatuhkan hukuman penjara dan sebat terhadap dua warga Nigeria selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki dadah tiga tahun lalu.

Tertuduh Kebechi Thomas Nwankwu, 38 tahun, dijatuhi hukuman penjara enam tahun setengah (78 bulan) dan 10 sebatan.

Manakala rakannya, Happy Akhidenor Aituaje, 33 tahun, dijatuhi hukuman penjara enam tahun setengah selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan memiliki dadah jenis kanabis seberat 580.98 gram.

Kedua-dua tertuduh didapati melakukan kesalahan itu di Pangsapuri Bukit Beruang Bestari, Jalan Bukit Beruang, Taman Bukit Beruang Bestari dalam daerah Melaka Tengah pada 24 Mac 2022, sekitar pukul 5.30 pagi.

Mereka dituduh bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(2) akta sama yang dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Tertuduh boleh dihukum penjara seumur hidup atau penjara tidak kurang lima tahun dan dikenakan sebatan tidak kurang 10 sebatan.

Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis menjatuhkan hukuman terbabit dan memerintah keduanya menjalani hukuman penjara itu serentak bermula dari tarikh ditahan.

Keputusan tersebut selepas kedua-dua tertuduh mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Inggeris oleh jurubahasa dan berpuas hati dengan pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asri Abd Rahman Sidik.

Terdahulu, peguam Datin Kharen Jit Kaur yang mewakili kedua tertuduh memohon agar satu hukuman minimum dikenakan ke atas anak guamnya kerana keduanya mempunyai keluarga di Nigeria.

Bagaimanapun Mohd Asri memohon hukuman berat dikenakan bagi mengambil kira kepentingan awam melebihi kepentingan peribadi tertuduh memandangkan jenayah berkaitan dadah adalah serius.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI