JOHOR BAHARU, 28 April - Seorang lelaki disyaki ahli sindiket pengedaran dadah tempatan berjaya ditahan polis Johor dalam dua serbuan berasingan di sekitar Johor Bahru, pukul 2 pagi Rabu lalu melibatkan rampasan pelbagai jenis dadah bernilai RM2.3 juta
Suspek berumur 35 tahun itu menjadikan bilik sewa di sebuah kediaman sebagai stor simpanan dan pembungkusan semula dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
Ketua Polis Johor, Komisioner M.Kumar berkata taktik sindiket ini adalah dengan menawarkan pelbagai jenis dadah secara pekej sebelum mengedarkannya ke pusat-pusat hiburan dan parti persendirian.
"Daripada rampasan ini juga kita tahu bahawa sindiket-sindiket ini menyasarkan pengguna-pengguna, dan mereka menawarkan pekej iaitu semua jenis dadah yang menjadi permintaan di pasaran.
"Sindiket dan suspek ini telah beroperasi sejak bulan Februari 2024", kata Kumaran demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis IPK Johor, di sini.
Polis turut menyita, dua buah kenderaan dan wang tunai berjumlah RM650 dengan keseluruhan dadah dan sitaan bernilai RM2.46 juta.
Suspek direman tujuh hari sehingga 30 April ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Beberapa suspek yang terlibat kini turut diburu oleh pihak polis.