KUALA LUMPUR, 22 Februari- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang menahan reman seorang penjawat awam kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah RM450 bagi meluluskan bantuan kebajikan seorang individu orang kurang upaya (OKU) pada Januari lalu.
SPRM Pulau Pinang dalam satu kenyataan berkata, perintah reman ke atas suspek yang bersia 30 tahun itu dikenakan selama enam hari bermula hari ini sehingga 27 Februari depan.
Ia dikeluarkan Majistret Siti Nurul Suhaila Baharin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Georgetown, Pulau Pinang, pagi tadi.
Menurut sumber, suspek dipercayai meminta wang rasuah daripada mangsa bagi kelulusan tersebut.
"Pada 19 Februari lalu, suspek telah menghubungi individu terbabit dan meminta wang rasuah diberikan kepadanya selepas wang bantuan bulanan berkenaan diperoleh individu berkenaan.
"Suspek telah ditahan kira-kira pukul 8.30 malam semalam di sekitar Balik Pulau ketika menerima wang rasuah yang diminta," kata kenyataan itu.
Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang, Mohd Fuad Bee Basrah, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.