fb fb fb fb fb

SPRM beku kira-kira 20 akaun bernilai lebih RM740,000 pasangan 'influencer'

Pasangan suami isteri yang merupakan pempengaruh ditahan 10 Julai lalu disambung reman selama tiga hari yang berakhir esok kerana disyaki terbabit dalam penyelewangan dana derma awam.

KUALA LUMPUR, 15 Julai - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan kira-kira 20 akaun perbankan melibatkan pasangan pempengaruh bersama dua lagi individu susulan siasatan penyelewengan dana derma awam.

Menurut sumber, pembekuan akaun-akaun itu membabitkan nilai lebih RM740,000 milik individu serta syarikat terbabit.

"Akaun-akaun yang dibekukan itu adalah akaun milik individu serta syarikat yang dipercayai mempunyai kaitan dengan dana yang diterima daripada orang ramai menggunakan satu platform kutipan derma dalam talian.

"Sejak siasatan dijalankan, SPRM menerusi Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) telah menyita dan membekukan hampir 20 akaun milik individu serta syarikat bagi membantu siasatan dijalankan.

"Kemungkinan akan ada beberapa lagi akaun perbankan yang akan turut disita serta dibekukan oleh SPRM," katanya.

Sementara itu, Pengarah AML SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan pembekuan beberapa akaun milik individu serta syarikat susulan siasatan SPRM terhadap pasangan pempengaruh terbabit.

Katanya, sitaan dan pembekuan akaun-akaun terbabit dibuat mengikut Seksyen 44 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Sebelum ini, RTM melaporkan pasangan suami isteri yang merupakan pempengaruh ditahan 10 Julai lalu disambung reman selama tiga hari yang berakhir esok kerana disyaki terbabit dalam penyelewangan dana derma awam.

BERITA BERKAITAN:

 

 

GRACE AISYAH KEDAYAN