fb fb fb fb fb

Sorok dadah di kediaman menyerupai taska, seorang lelaki ditahan

Datuk Allaudeen Abdul Majid

KUALA LUMPUR, 22 Mac- Polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur (IPKKL) menumpaskan sindiket pengedaran dadah dengan penahanan seorang lelaki tempatan bersama beberapa jenis dadah di sebuah kediaman di Ampang, Selangor.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, dalam operasi tersebut pasukannya menemukan 213 kilogram (kg) dadah jenis syabu, 90 kg pil erimin 5 dan tiga kilogram heroin yang dianggarkan bernilai RM10.8 juta.

Sindiket menggunakan modus operandi dengan menjadikan kediaman itu menyerupai pusat penjagaan kanak-kanak dengan pelbagai lukisan kartun.

"Kita telah menjejak mereka ke satu premis yang kelihatan seperti sebuah taska kanak-kanak. Dia nampak macam taska tetapi bukan taska.

"Di sana kita telah buat tindakan susulan dan mendapati premis ini berfungsi sebagai stor menyimpan bekalan dadah," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di ibu negara.

Menurut Allaudeen, lelaki berusia 38 tahun itu berperanan sebagai pembawa dadah dengan kadar upah RM20,000 mengikut penghantaran.

Suspek juga tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan awal mendapati suspek negatif dadah.

Bekalan dadah dipercayai diperolehi dari negara jiran dan rampasan dadah tersebut mampu menampung seramai 826,000 penagih dadah.

Kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek direman selama tujuh hari bermula 20 Mac hingga 26 Mac ini bagi membantu siasatan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI