fb fb fb fb fb

Sindiket judi dalam talian, 84 ditahan di Subang Jaya

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan (dua,kanan) menunjukkan komputer riba yang dirampas dalam sidang media, di Petaling Jaya

PETALING JAYA, 21 Mac - 84 individu disyaki terlibat sindiket judi dalam talian ditahan dalam serbuan di sebuah pusat beli-belah di Subang Jaya, Isnin lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata dalam serbuan itu pihaknya turut merampas 94 komputer riba, 105 telefon bimbit, enam kenderaan mewah serta wang tunai berjumlah RM15,849.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati sindiket itu berdaftar sebagai sebuah syarikat teknologi maklumat yang menggajikan semua individu terbabit sebagai pekerja teknologi maklumat untuk membangunkan aplikasi judi bagi pasaran Thailand, Brazil, China dan Vietnam dengan menawarkan gaji antara RM5,000 hingga RM20,000 sebulan.

"Sindiket ini mepunyai hubungan dengan negara-negara berkaitan dan mereka menggunakan platform yang diuruskan oleh sindiket ini untuk perjudian," katanya pada sidang media, di sini.

Tambah Hussein, pihaknya telah mengenal pasti individu yang berperanan sebagai pemilik syarikat berkenaan dan akan melakukan tangkapan dalam masa terdekat.

"Semua individu berusia 23 hingga 43 tahun direman hingga esok (22 Mac) dan kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(A), Seksyen 4(1)(c) dan Seksyen 4(1)(G) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana menjalankan, mengurus dan mempromosi platform berunsur perjudian," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN