KUALA LUMPUR, 21 Mac – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan migran warga Indonesia dalam satu operasi khas di sebuah premis di Ampang, Selangor pada 19 Mac lalu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi yang dijalankan hasil maklumat awam dan risikan itu berjaya menahan sebuah kenderaan yang digunakan untuk mengangkut migran secara haram.
“Pemeriksaan mendapati pemandu kenderaan adalah seorang wanita bersama dua lelaki, kesemuanya warga Indonesia. Mereka dipercayai berperanan sebagai transporter atau ejen penghantar bagi sindiket tersebut,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Pemeriksaan lanjut di premis yang dijadikan rumah transit mendapati empat lelaki dan seorang wanita warga Indonesia turut berada di lokasi.
“Kelima-lima mereka mengaku sedang menunggu giliran untuk dihantar pulang ke negara asal melalui pintu yang tidak diwartakan,” katanya.
Tambah beliau, sindiket dikesan menawarkan perkhidmatan membawa masuk dan menghantar keluar migran larangan dengan bayaran sehingga RM4,500 seorang.
"Mereka dipercayai beroperasi dari sekitar Johor dan Negeri Sembilan. Ejen atau transporter yang terlibat juga adalah warga Indonesia, yang menjalankan aktiviti ini secara tersusun dan licik bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya.
Operasi turut menemukan seorang wanita dalam keadaan lemah yang dipercayai menjadi mangsa eksploitasi majikan.
“Wanita tersebut diserahkan oleh majikan kepada ejen haram untuk dihantar pulang, menunjukkan wujudnya unsur penyalahgunaan dan eksploitasi,” tegas beliau.
Selain itu, beberapa pasport milik individu lain turut dijumpai di lokasi, disyaki digunakan dalam aktiviti penyeludupan.
Menurut Zakaria, JIM telah memulakan siasatan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 [Akta 670] bagi membongkar keseluruhan rangkaian sindiket ini.
“JIM akan terus komited dan tegas dalam membanteras sindiket yang menggugat keselamatan dan kedaulatan negara,” tambah beliau.