PUTRAJAYA, 3 Jun - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya mematahkan cubaan sindiket membawa masuk enam etnik Rohingya ke negara ini dalam satu operasi khas di sekitar Kota Bharu, Kelantan, Sabtu lalu.
Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh memaklumkan kesemua mereka ditahan Pasukan Taktikal Khas (PASTAK) Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM.
"Kejayaan ini berdasarkan aduan awam dan risikan yang dijalankan selama tiga minggu," katanya menerusi kenyataan.
Beliau berkata, hasil semakan mendapati empat lelaki memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) manakala dua lagi tidak memiiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas sah.
Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 26A, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(3), Akta Imigresen 1959/63.
"Imigresen akan terus komited membanteras sindiket penyeludupan manusia dalam menguatkuasakan undang-undang demi menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.
"Tindakan tegas dikenakan terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan ATIPSOM 2007," katanya.