fb fb fb fb fb

Pengarah urusan rugi RM520,000 akibat 'phone scam'

Foto Hiasan

JOHOR BAHRU, 3 Jun - Seorang pengarah urusan sebuah syarikat swasta berputih mata selepas mengalami kerugian RM520,000 akibat terperdaya dengan sindiket phone scam atau penipuan melalui panggilan telefon bulan lalu.

Ketua Polis Johor, CP M Kumar, berkata lelaki tempatan berusia 46 tahun itu membuat laporan polis semalam, mendakwa telah menerima panggilan telefon daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai polis dari sebuah kontinjen di utara tanah air.

"Individu itu memaklumkan kepada mangsa kononnya telah menemukan kad mesin juruwang automatik (ATM) atas namanya dalam satu serbuan yang dijalankan serta mendakwa dia terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram.

"Panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada individu lain mendakwa dirinya ‘Inspektor Lee Kha Seng’ dan menawarkan bantuan dengan cara memindahkan wang milik mangsa ke akaun bank yang diarahkan bagi mengelakkan wangnya disita, sementara siasatan dijalankan," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata mangsa berasa percaya dengan panggilan tersebut kerana nama dan nombor kad pengenalan yang dibacakan oleh 'Inspektor Lee' adalah benar, selain dia turut menerima surat dengan kepala surat mahkamah menyatakan akan mengambil tindakan penyiasatan, penangkapan dan pembekuan aset, melalui aplikasi WhatsApp.

Tambahnya, mangsa kemudiannya telah mengikut arahan diberikan dengan membuat pindahan wang ke akaun bank seperti diarahkan berjumlah RM520,000.

"Mangsa menyedari telah ditipu setelah dia terus didesak untuk melakukan pindahan wang lagi, sebelum membuat laporan polis," ujarnya.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

ZEHRA BINTI ZAMBRI