fb fb fb fb fb

Penjaga rumah ibadat antara 26 warga asing ditahan Imigresen Johor

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 26 warga asing termasuk seorang penjaga rumah ibadat kerana tidak memiliki pas atau permit sah tinggal di negara ini menerusi serbuan di tujuh premis di Taman Setia Indah, Johor Bahru, tengah malam tadi / Foto FB JIM Johor

JOHOR BAHRU, 3 Jun - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 26 warga asing termasuk seorang penjaga rumah ibadat kerana tidak memiliki pas atau permit sah tinggal di negara ini menerusi serbuan di tujuh premis di Taman Setia Indah di sini, tengah malam tadi.

Pemangku Pengarah Imigresen Johor, Mohd Faizal Shamsudin berkata kesemua warga asing berusia 22 hingga 47 tahun itu ditahan dalam serbuan Ops Sapu dan Ops Selera kira-kira 12.01 tengah malam.

" Kesemua mereka terdiri daripada 16 lelaki dan seorang wanita warga Myanmar, tujuh lelaki warga Indonesia, seorang lelaki warga India serta seorang wanita warga Thailand.

"Hasil pemeriksaan turut mendapati terdapat sebuah rumah kedai telah dijadikan rumah ibadat untuk warga asing dan seorang warga Myanmar mengaku menjadi penjaga kepada rumah ibadat tersebut," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Faizal, sebuah restoran warga asing turut dikesan menjalankan operasi secara haram dan tidak memiliki lesen perniagaan yang sah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

Penjaga rumah ibadat itu juga turut disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas yang ditetapkan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN