fb fb fb fb fb

Sindiket dadah, lima individu termasuk dua beranak ditahan

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Raub Selamat (tengah) menunjukkan barang rampasan pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan / Foto Bernama

JOHOR BAHRU, 2 September - Polis menahan lima individu, termasuk dua beranak dalam tiga serbuan berkait sindiket pengedaran dadah di sekitar Johor Bahru, 27 Ogos lalu.

Kesemua suspek, terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita berusia antara 39 hingga 69 tahun dan mempunyai rekod jenayah.

Empat daripada mereka didapati positif dadah jenis Methamphetamine.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Timbalan Pesuruhjaya Polis (ACP) Raub Selamat berkata pelbagai jenis dadah bernilai hampir RM158,000 dirampas dalam serbuan tersebut.

"Kita juga berjaya merampas sepucuk senjata api jenis Sig Sauer bersama dengan 33 butir peluru, serta dua buah motosikal dan wang tunai berjumlah RM1,385," katanya pada sidang media, di sini.

Tambah Raub, kesemua suspek dipercayai aktif sejak dua bulan lalu dengan menjadikan pangsapuri yang disewa sebagai tempat penyimpanan dadah sebelum menjualnya ke pasaran tempatan.

Kesemua suspek direman sehingga Isnin depan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN