BINTULU, 2 September- Sebuah bot tunda telah ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu selepas didapati beroperasi tanpa nakhoda sah.
Bot tersebut ditahan pada kedudukan empat batu nautika barat laut Kuala Kemena, di sini pada kira-kira pukul 3.35 petang semalam.
Pengarah Zon Maritim Bintulu Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah dalam satu kenyataan memaklumkan, penahanan tersebut dilakukan pasukan rondaan Maritim Malaysia semasa menjalankan OP PERMAI 01/2019.
Ketiak itu bot tunda berwarna putih itu sedang melakukan kerja-kerja pemunggahan kayu balak ke atas sebuah kapal induk untuk dieksport ke India.
"Hasil pemeriksaan awal mendapati bot tunda tersebut dikendalikan oleh empat kru termasuk seorang nakhoda warga Myammar dan seorang kru warga tempatan yang berusia antara 28 hingga 35 tahun," katanya.
Bot tunda itu disyaki melanggar Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana gagal memaklumkan secara bertulis kepada Pendaftar Kapal berhubung pertukaran nama nakhoda dalam sijil pendaftaran kapal. Kesalahan ini boleh dikenakan kompaun sebanyak RM2,500.
Menurut Muhammad Suffian Eldine, bot tunda berserta dokumen telah ditahan dan diiringi ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Zon Maritim Bintulu.
Bot tersebut kemudian diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.