SHAH ALAM, 2 September - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menahan seramai 31,196 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan 1,018 majikan dalam Operasi Penguatkuasaan yang dijalankan sejak Januari hingga kini.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM Jafri Embok Taha berkata angka itu melibatkan kesalahan majikan yang menggajikan serta melindungi pekerja warga asing tanpa izin.
Susulan itu beliau menegaskan bahawa pihaknya akan terus memberi tumpuan kepada operasi penguatkuasaan terhadap majikan dan warganegara asing yang melanggar undang-undang di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), Akta Pasport 1966 (Akta 150), dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670).
Beliau turut mengingatkan bahawa JIM tidak pernah melantik ejen atau orang perseorangan untuk menguruskan urusan berkaitan jabatan tersebut.
"Kami menerima banyak aduan bahawa majikan sedang mendapatkan dokumen melalui ejen-ejen yang kononnya dilantik oleh JIM. Sebenarnya, kami tidak melantik ejen atau bekerjasama dengan mana-mana ejen.
"Urusan dengan JIM adalah secara terus, dan sekiranya ada ejen yang hadir di kaunter kami, mereka adalah majikan atau wakil majikan, bukan ejen rasmi," katanya selepas melakukan serbuan di dua gudang pembungkusan dan penghantaran barang jualan e-dagang di Jalan Kebun di sini hari ini.
Katanya, daripada 87 individu yang diperiks, seramai 37 warga asing tanpa izin telah ditahan.
"Mereka terdiri daripada warganegara Bangladesh (17), Indonesia (5), Myanmar (12), Sri Lanka (1), dan Nepal (2), berusia antara 20 hingga 40 tahun.
"Mereka ditahan kerana gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah semasa pemeriksaan di gudang pembungkusan dan penghantaran serta kilang besi di kawasan tersebut," katanya.
Operasi ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan JIM untuk membanteras warga asing tanpa izin selain memastikan majikan mematuhi undang-undang imigresen negara.