SELANGOR, 8 Oktober- Kegiatan pemilik syarikat landskap yang berselindung di sebalik premis kebun bunga di Sungai Buloh untuk memproses dan menjual air ketum sejak tiga tahun lalu berjaya diserbu pada Khamis lepas.
Ketua Polis negeri, Datuk Hussein Omar Khan berkata pembeli turut menyamar sebagai pemandu e-hailing termasuk menggunakan pemandu pengangkutan untuk membeli air ketum tersebut.
"Kita telah menahan dua lelaki tempatan dan dua lelaki warganegara asing yang terlibat dalam memproses dan menjual air ketum. Dalam rampasan ini, kita telah merampas sebanyak 1,100 botol air ketum yang sedia untuk dijual, setiap botol lebih kurang 500 milimeter" katanya pada sidang media mengenai kejayaan serbuan tersebut.
Tambahnya, semua urusan pembelian dilaksanakan menggunakan wang tunai sahaja dan tiada bayaran dalam talian atau "QR" dibenarkan bagi melindungi kegiatan itu.
Serbuan dilakukan pada pukul 12.05 tengah hari itu adalah hasil risikan selama dua bulan di dua buah rumah di Kampung Melayu Sungai Buloh di sini.
Siasatan mendapati bekalan daun ketum diambil dari Perak dalam kuantiti 50 kilogram menggunakan lori dengan keuntungan mereka mencecah RM20,000 sebulan.
Keempat-empat suspek direman seminggu dan kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 serta Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967.