JOHOR BAHRU, 8 Oktober - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 60.2 kilogram kokain yang disembunyikan dalam kontena sejuk beku di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah, Iskandar Puteri, pada 1 Oktober lalu.
Pengarah JKDM Johor, Aminul Izmeer Mohd Sohaimi berkata nilai keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan RM12.05 juta, menjadikannya rampasan dadah terbesar, tahun ini.
Katanya, sindiket cuba mengelirukan pihak berkuasa dengan mengikrar kontena berkenaan, yang datang dari India, sebagai udang segar sejuk beku seberat 19 tan.
"Pelabuhan Tanjung Pelepas digunakan sebagai pusat transit untuk menyeludup dadah ke Miami, Amerika Syarikat. Pemeriksaan rapi menemukan 62 bungkusan plastik segi empat tepat yang disembunyikan di ruang penghawa dingin kontena. Hasil pemeriksaan lanjut menemukan serbuk mampat berwarna putih yang disyaki kokain," katanya pada sidang media di Menara Kastam Johor, di sini hari ini.
Rampasan tersebut merupakan hasil maklumat risikan yang dikumpul pegawai dan anggota JKDM selama sebulan.
Aminul Izmeer turut menyatakan komitmen JKDM untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa antarabangsa bagi menjejak dalang serta ahli sindiket yang terlibat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.