fb fb fb fb fb

Serangan Balai Polis Ulu Tiram: Sebutan semula kes pada 24 September

Mahkamah Sesyen Johor Bahru menetapkan 24 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes serangan Balai Polis Ulu Tiram / Foto RTM

JOHOR BAHRU, 2 September - Mahkamah Sesyen Johor Bahru menetapkan 24 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes serangan Balai Polis Ulu Tiram yang mengorbankan dua anggota polis, Mei lalu.

Keputusan itu dibuat Hakim Rasidah Roslee selepas pihak pendakwaan memohon tarikh baharu untuk menunggu laporan pakar.

Permohonan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Yazid Mustaqim Roslan susulan laporan pakar yang dijangka siap dalam tempoh sebulan lagi.

Tertuduh, Radin Imran Mohd Yassin, 62 tahun, berdepan dengan pertuduhan baharu kerana memiliki sebuah buku bertajuk Hakikat Islam dan Hakikat Syirik oleh Abu Sulaiman Aman Abdurrahman, yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas Islamic State (IS).

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan [Akta 574].

Sebelum ini, lima ahli keluarga tersebut berdepan dengan sembilan pertuduhan berasingan, termasuk menggalak dan menanam fahaman kumpulan IS, pada 19 Jun lalu.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN