fb fb fb fb fb

Seorang lelaki ditahan kerana mengasari, menolak isteri ke gaung

Ketua Polis Daerah Gerik, Supt Zulkifli Mahmood

GERIK, 1 Ogos - Seorang lelaki ditahan selepas mengasari dan menolak isterinya ke dalam gaung di Kilometer 31.2 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendent Zulkifli Mahmood berkata kejadian berlaku apabila suami mangsa berumur 39 tahun telah membawa mangsa, 32, dari tempat kerja di Kuala Lumpur menuju ke Perak melalui lebuh raya utama atas alasan mahu pulang ke kampung pada 5.30 petang, 26 Julai.

"Sepanjang perjalanan berlaku pertengkaran mulut antara mereka, setibanya di satu tempat suspek telah memberhentikan kereta dan bertindak mengugut mahu membunuh mangsa dengan sebilah pisau, mangsa merayu namun suspek mencekik leher mangsa.

"Mangsa bertindak terjun dari kereta tetapi telah dimasukkan semula oleh suspek dan terus memecut sehingga tiba di kawasan KM31.2 JRTB Gerik kira-kira pukul 4 hingga 5 pagi," katanya menerusi kenyataan.

Tambah Zulkifli, setibanya di kawasan tersebut, berlaku lagi pertengkaran dan suspek telah menarik mangsa keluar dari kereta dan terjadi pergaduhan serta pergelutan di bahu jalan, sebelum suspek menolak mangsa sehingga jatuh ke dalam gaung.

Beliau berkata polis menerima panggilan daripada orang awam yang menjumpai mangsa keseorangan di tepi jalan pada 2 petang, 27 Julai dan mangsa yang mengalami kesan calar, luka serta lebam pada tubuh badan telah dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Gerik untuk menerima rawatan awal.

"Hasil siasatan lanjut mendapati mangsa telah bertindak merangkak naik ke bahu jalan untuk menyelamatkan diri sebelum dijumpai orang awam dan mangsa kini menerima rawatan di Hospital Daerah Taiping," katanya.

Suspek telah ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling, Kedah, kerana mempunyai beberapa rekod lampau kesalahan berkaitan dadah di daerah berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN