KUCHING, 13 Februari- Pasukan Gerakan Am, PGA Sarawak merampas minyak diesel bersubsidi bernilai RM1.1 juta dalam serbuan 'Op Taring Bravo Satu' di Sibu, semalam.
Komander Briged Sarawak PGA, Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (SAC) Dr. Che Ghazali Che Awang berkata, serbuan dilakukan oleh pasukan dari Cawangan Risik Batalion 10 PGA Sibu ke atas sebuah premis yang disyaki dijadikan tempat aktiviti penyimpanan dan penyeludupan minyak diesel bersubsidi.
“Dalam serbuan yang telah dijalankan, pasukan serbuan telah berjaya menahan dua lelaki warga tempatan berumur lingkungan 44 hingga 48 tahun.
"Hasil pemeriksaan lanjut telah menemukan sebanyak 9,000 liter minyak diesel bersubsidi yang disimpan di dalam kawasan premis tersebut.
"Turut dirampas dua buah kenderaan jenis lori”, katanya dalam satu kenyataan media.
Tangkapan dan rampasan diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Cawangan Sibu untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961.
Sejak pengoperasian 'Op Taring’ mulai 1 Januari lalu, Briged Sarawak PGA telah mencatat kejayaan rampasan bernilai RM71.9 juta membabitkan 44 kes.
Seramai 87 individu termasuk 14 warga asing ditangkap, selain menyita 37 buah kenderaan pelbagai jenis.