fb fb fb fb fb

Seleweng minyak diesel bersubsidi, dua lelaki warga asing dipenjara 18 bulan

Foto RTM

ALOR SETAR ,20 Mei - Padah memiliki minyak diesel bersubsidi tanpa lesen yang sah, dua lelaki warga Myanmar dihukum penjara 18 bulan.

Tertuduh, Zaw Min Naing, 44 tahun, dan U Kyaw Hla, 39 tahun, mengaku bersalah  selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason di Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini.

Hakim Jean Sharmila mengarahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman tersebut bermula dari tarikh ditangkap iaitu 24 Februari 2023.
 
Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa menyimpan barang kawalan yang juga merupakan barang kawalan berjadual iaitu 6,200 liter minyak diesel bersubsidi bernilai RM13,330 di sebuah premis di Kampung Bukit Lada, Pokok Sena pada 24 Februari 2023.
 
Semakan mendapati, kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod permohonan permit bagi menyimpan barang kawalan berjadual iaitu minyak diesel.
 
Kedua-dua lelaki berkenaan juga tidak dilesenkan untuk berniaga secara runcit atau borong barang kawalan berjadual.
 
Kedua-duanya didapati melakukan kesalahan dibawah Peraturan 3 (1) Peraturan-peraturan kawalan bekalan 1974 iaitu berurusan dengan barangan kawalan tersebut tanpa lesen.
 
Ia merupakan kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 22 (1) akta yang sama.
 
Kedua-dua tertuduh yang merupakan bukan pemegang Kad UNHCR dihantar ke Penjara Kulim untuk menjalani hukuman.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD