fb fb fb fb fb

Samun RM3.5 juta: Polis rakam keterangan ahli keluarga pempengaruh

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid/Foto FB IPK KL

KUALA LUMPUR, 6 Mac - Polis akan memanggil ahli keluarga usahawan wanita yang dilaporkan kerugian RM3.5 juta bagi membantu siasatan kes pecah masuk di rumahnya di Sentul pada Ahad lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, polis juga telah selesai merakam keterangan mangsa yang juga pempengaruh media sosial.

"Polis akan menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi mengenal pasti suspek terlibat dan berhubung kejadian akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

"Apa-apa sahaja kemungkinan kita akan siasat sama ada orang dalam, orang luar. Bagi polis masa jalankan siasatan dan berikan mereka tempoh bertenang seketika," katanya selepas Majlis Program Back To School di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, pada Selasa.

Terdahulu, media melaporkan seorang ahli perniagaan wanita mengalami kerugian bernilai RM3.5 juta selepas peti besi yang mengandungi jongkong emas dan sejumlah wang tunai dilarikan termasuk beberapa buah beg tangan pelbagai jenama dalam kejadian antara 10 malam hingga 12 tengah malam.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, kediaman tersebut dipecah masuk ketika penghuninya tiada di rumah.

Polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

GRACE AISYAH KEDAYAN