fb fb fb fb fb

Saksi buat laporan bimbang berlaku rusuhan susulan kenyataan Papagomo

Wan Muhammad Azri Wan Deris, atau Papagomo/Foto fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 11 Julai - Seorang peniaga berkata beliau membuat laporan polis kerana bimbang berlaku pergaduhan dan rusuhan susulan kenyataan Wan Muhammad Azri Wan Deris, atau Papagomo, yang didakwa mengandungi hasutan bahawa kerajaan pro kepada Israel dan barat.

Hisham Sharudin, 42, berkata laporan pada 8 Nov 2023 itu adalah susulan kenyataan Wan Muhammad Azri yang mendakwa kerajaan menyokong Israel dan beliau juga bimbang dengan desas-desus mengatakan negara tersebut mahu menyerang Malaysia.

Saksi pertama pendakwaan itu berkata demikian semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam pada perbicaraan kes bekas Exco Pemuda UMNO tersebut di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Siti Aminah Ghazali di sini hari ini.

Hisham berkata beliau menonton satu video di akaun Facebook Halid Hamidi dan akaun TikTok @projekpapa yang memaparkan kenyataan Wan Muhammad Azri itu sebelum membuat laporan polis supaya pihak berkuasa menjalankan siasatan.

“Saya mengenali Wan Muhammad Azri melalui media sosial dan telah mengikuti perkembangan politiknya sejak 2020 namun saya tidak mengenali Halid.

“Hantaran Halid telah dimuat naik semasa saya sedang melayari Facebook pada 8 Nov 2023. Saya nampak ada orang kongsikan pautan kepada hantaran di Facebook, saya kemudian klik kepada pautan itu dan saya baca hantaran tersebut,” katanya.

Setelah menonton dan meneliti video itu, Hisham berkata beliau mendapati kenyataan Wan Muhammad Azri adalah berbentuk menghasut rakyat untuk membenci kerajaan dengan mendakwa kerajaan ketika ini menyokong rejim Israel.

“Fakta ini adalah tidak benar kerana terdapat banyak program dan tindakan kerajaan yang jelas mengutuk tindakan-tindakan Israel dan saya dapati kerajaan sentiasa memberi sokongan padu kepada perjuangan rakyat Palestin,” katanya.

Beliau turut menyifatkan kenyataan itu sebagai penghinaan kepada kerajaan dan mampu menjejaskan usaha Malaysia menyatakan pendirian konsistennya terhadap perjuangan rakyat Palestin untuk mendapatkan sebuah negara yang merdeka.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) selaku ketua kerajaan telah ke negara timur tengah seperti Arab Saudi, Mesir dan Turki pada penghujung Oktober 2023 untuk mendapatkan sokongan mereka dalam membantu mengutuk tindakan kejam Israel ke atas rakyat Palestin di Gaza,” katanya.

Semasa disoal balas oleh peguam Muhammad Rafique Rashid Ali, saksi itu tidak bersetuju laporan polis berhubung kenyataan tertuduh dibuat kerana mahu mempertahan parti PKR dan Anwar selaku Presiden.

Hisham bagaimanapun bersetuju bahawa tiada rusuhan dan pergaduhan berlaku di Kedutaan Amerika Syarikat dari tarikh laporan itu dibuat hingga hari ini.

Halid, 55, pula memaklumkan mahkamah bahawa video kenyataan Wan Muhammad Azri itu telah dimuat naik di laman Facebook beliau pada 5 Nov 2023 tahun lepas.

Saksi kedua pendakwaan itu berkata beliau memuat naik video tersebut kerana tidak puas hati dengan kenaikan harga barang dan kesukaran mendapatkan keperluan harian di pasaran selain tertarik dengan apa yang dipaparkan.

Wan Muhammad Azri didakwa mengeluarkan kata-kata menghasut di laman Facebook Halid (Halid Mat Kool) dan ia dilihat oleh individu di sebuah unit kondominium di Jalan Tong Shin, Bukit Bintang di sini pada 1 tengah hari 8 Nov 2023.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4 (1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bersambung esok. - BERNAMA

GRACE AISYAH KEDAYAN