PUTRAJAYA, 1 Mac- Mahkamah Rayuan hari ini mengurangkan hukuman penjara daripada 13 tahun kepada lapan tahun dengan dua sebatan terhadap bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh Paul Yong Choo Kiong atas kesalahan merogol pembantu rumahnya, lima tahun lalu.
Menerusi keputusan majoriti 2 – 1, Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail yang mengetuai panel dengan Hakim Datuk Azman Abdullah mengesahkan Yong disabitkan bersalah, manakala Hakim Datuk S.M. Komathy Suppiah menentang keputusan itu.
Pada 27 Julai 2022, Mahkamah Tinggi di Ipoh, Perak mendapati Yong bersalah merogol pembantu rumah warga Indonesia berusia 23 tahun di sebuah bilik di rumahnya di Ipoh antara pukul 8.15 malam hingga 9.15 malam pada 7 Julai 2019.
Dia yang merupakan bekas Exco Kerajaan Negeri Perak dihukum penjara 13 tahun serta dua sebatan.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan boleh disebat.
Bagaimanapun mahkamah membenarkan penangguhan hukuman bagi pihak pembelaan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.
Paul dituduh di Mahkamah Sesyen Ipoh pada 23 Ogos 2019 dan diperintah untuk membela diri atas pertuduhan tersebut pada 7 Disember 2021.
Seramai 23 saksi termasuk dua saksi terlindung telah dipanggil untuk memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan.