JOHOR BAHARU, 1 Mac - Polis menasihatkan keluarga Mila Sharmila Samsusah atau Bella, yang mati dibunuh Disember tahun lalu untuk menghormati proses mahkamah ketika ini.
Ketua Polis Johor, Komisioner Polis, M. Kumar berkata suspek, Mohammad Haikal Mahfuz telah dituduh di mahkamah Batu Pahat pada 24 Januari lalu.
Beliau berkata, mahkamah turut menetapkan 11 Mac ini sebagai sebutan semula bagi serahan laporan forensik.
"Siasatan telah dijalankan dan suspek telah pun dituduh. Saya rasa selepas ini kita serahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan.
"Kita jangan mengadili sesiapa sebagai orang awam. Kita ada mahkamah yang mulia, perbicaraan akan berlangsung dan setiap yang terlibat akan diberi peluang untuk membela diri dan biarlah mahkamah yang membuat keputusan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Misi Jelajah Ramadan Myfund Action di Masjid Jamek Bandar Baru Uda, di sini.
Tambah M.Kumar, pihaknya juga akan meneliti hantaran-hantaran dibuat ahli keluarga Allahyarham di media sosial sebelum memberi sebarang maklum balas lanjut.