fb fb fb fb fb

Rempah ratus guna logo halal tanpa kebenaran dirampas

FOTO KPDN PULAU PINANG

BUKIT MERTAJAM, 17 Julai- Kementerian Perdagangan dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri Pulau Pinang menyerbu sebuah kilang di Permatang Tinggi, Bukit Mertajam disyaki menggunakan logo halal Malaysia tidak sah bagi tujuan perdagangan ke atas produk jualannya berupa rempah ratus.

Pengarahnya, S. Jegan dalam kenyataan hari ini berkata, hasil pemeriksaan mendapati premis tersebut menggunakan logo halal itu pada 2,498 bungkus produk tersebut walaupun sijil halal telah tamat tempoh sah sejak tahun 2016.

Nilai barangan disita membabitkan jumlah rampasan sebanyak RM12,490.

Kes disiasat mengikut Perenggan 4 (1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan Dan Penandaan Halal) 2011.

Jika disabitkan dengan kesalahan bagi bukan pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM100,000
atau tiga tahun penjara atau kedua duanya.

Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM250,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Operasi itu diketuai Pengarah KPDN Pulau Pinang, 19 anggota Penguat Kuasa KPDN Pulau Pinang serta dua orang pegawai Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP).

SITI AISHAH MD ISA