fb fb fb fb fb

Reman pemilik kebun tidak disambung - Polis

PDRM

KULIM, 17 Julai- Siasatan polis berhubung kes dua kanak-kanak maut termakan keropok didakwa dicampur racun tikus di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, di sini, Kedah, baru-baru ini, telah selesai.

Ketua Polis Daerah, Penguasa Polis (SP) Mohd Azizul Mohd Khairi menerusi kenyataaan hari ini berkata, pihaknya juga tidak membuat permohonan bagi melanjutkan tempoh reman suspek iaitu seorang pekebun yang akan tamat esok.

Justeru, lelaki berusia 33 tahun itu akan dibebaskan dengan diberikan jaminan polis, sementara menunggu keputusan timbalan pendakwaraya.

Mohd Azizul berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta 611 berkaitan pengabaian terhadap kanak-kanak dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, dua beradik, Muhammad Akil Syauqi, 3, dan Muhammad Luth Syauqi, 2, maut selepas termakan keropok berkenaan dalam kejadian di Kampung Padang Ubi, Labu Besar Kulim pada 7 Julai lalu.

Muhammad Akil meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang pada Rabu lalu, diikuti adiknya dua hari kemudian.

SITI AISHAH MD ISA