fb fb fb fb fb

Remaja Sri Lanka ditahan cuba mohon pasport Malaysia

Lelaki warga Sri Lanka (kanan) ditahan ketika cuba memohon pasport Malaysia, bersama wanita tempatan yang dibayar untuk menyamar sebagai ibunya./Foto: Imigresen Pulau Pinang.

GEORGE TOWN, 22 Ogos- Seorang remaja lelaki warga Sri Lanka ditahan ketika cuba mendapatkan pasport antarabangsa Malaysia dengan mengemukakan dokumen pengenalan diri sebagai kanak-kanak berusia 10 tahun.

Pengarah Imigresen Pulau Pinang Nur Zulfa Ibrahim berkata remaja lelaki itu hadir ke Pejabat Imigresen UTC Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) dengan ditemani seorang wanita tempatan yang mengaku ibunya.

Beliau berkata penyelia bertugas menyedari fizikal individu itu tidak sepadan dengan kanak-kanak berusia 10 tahun.

Selain itu remaja itu juga tidak memahami sebarang soalan yang diajukan serta bahasa pertuturan digunakan juga bukan dalam dialek Tamil biasa diucapkan masyarakat India di Malaysia.

"Hasil soal siasat, wanita yang menemani lelaki itu mengaku bukanlah ibu kepada pemohon pasport itu, sebaliknya menerima sejumlah wang sebagai ganjaran untuk urusan itu.

"Susulan kejadian itu, wanita dan lelaki terbabit ditahan di bawah Akta Pasport 1966 untuk siasatan lanjut," katanya.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI