KUALA LUMPUR, 10 Ogos - Remaja perempuan yang ditahan kerana menceroboh dan menyamar sebagai petugas hospital pada Khamis lepas dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.
Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata remaja berkenaan mengaku melakukan perbuatan itu sekadar suka-suka.
Kertas siasatan berhubung kes itu sedang dilengkapkan dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.
Sebelum ini, Berita RTM melaporkan remaja berusia 14 tahun itu ditahan di lobi Hospital Sultan Idris Shah, Serdang kerana disyaki menyamar sebagai pegawai perubatan.
Siasatan awal mendapati, suspek telah menceroboh dewan bedah hospital dan mengaku sebagai pegawai perubatan serta mahu membantu menjalankan pembedahan.
Polis turut merampas satu set alatan perubatan termasuk baju, seluar scrub dan lanyard milik hospital.