fb fb fb fb fb

Remaja menyamar sebagai doktor, KPM sedang kenal pasti status remaja terlibat

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek

KUALA NERUS, 10 Ogos - Kementerian Pendidikan (KPM) sedang mengenal pasti status sebenar remaja 14 tahun yang menyamar sebagai doktor di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang baru-baru ini.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata perkara itu mengejutkan banyak pihak dan siasatan terperinci berhubung kes terbabit sedang dijalankan.

Beliau berkata, pihaknya sedang menunggu laporan penuh perkara tersebut termasuk keberadaan remaja itu dalam tempoh seminggu menyamar sebagai pegawai perubatan.

"Siasatan kes ini memerlukan pihak yang mengambil tanggungjawab penuh seperti ibu bapa dan yang terlibat secara keseluruhan dalam kes ini.

"Ibu bapa perlu juga ambil perhatian penuh serta bertanggungjawab bagi memastikan di mana anak mereka berada pada setiap masa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kempori Pengakap Madani peringkat Kebangsaan, di sini.

Dalam perkembangan lain, mengenai kes melibatkan dua wanita termasuk guru besar sebuah sekolah yang cedera selepas ditikam seorang lelaki bersenjatakan pisau pada Jumaat, Fadhlina berkata pihak KPM akan memperketat kawalan keselamatan di kawasan sekolah.

Ini termasuk mempertingkat kawalan pengawal keselamatan, pentadbiran dan warga sekolah.

"Penyediaan kawalan keselamatan adalah tanggungjawab kita di mana pengawal dan pentadbir sekolah harus tingkatkan kawalan keselamatan bagi mengelak insiden tidak diingini.

"Setiap sekolah kita mesti selamat, sebab itu komitmen kita tinggi bagi memastikan semua yang berada dalam kawasan tersebut selamat," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN