fb fb fb fb fb

Dua pelajar kolej maut, dilanggar pemandu mabuk

Keadaan kenderaan pacuan empat roda mangsa yang dilanggar kereta dinaiki lelaki mabuk hari ini/PDRM

KUALA LUMPUR, 10 Ogos- Dua pelajar kolej lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta mewah dari arah bertentangan dalam kemalangan di Jalan Cheras di sini pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kejadian berlaku pada pukul 6.43 pagi apabila kereta dipandu seorang lelaki, 23, dipercayai terbabas sebelum melanggar kenderaan dinaiki mangsa serta lima kenderaan lain dari arah bertentangan.

"Ekoran kemalangan itu, dua penumpang (pacuan empat roda), masing-masing berusia 22 tahun meninggal dunia akibat kecederaan parah dialami, manakala rakan mereka iaitu pemandu kenderaan tersebut mengalami kecederaan ringan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Hasil pemeriksaan mendapati pemandu kereta mewah terbabit memandu bawah pengaruh alkohol dan ditahan polis untuk disiasat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz untuk bedah siasat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur bagi membantu siasatan.

SITI AISHAH MD ISA