fb fb fb fb fb

Polis tembak kereta suspek curi kabel, cuba rempuh anggota

Gambar hiasan

KAJANG, 10 Ogos - Empat lelaki ditahan selepas mereka bertindak agresif dengan melanggar kereta polis semasa operasi rondaan mencegah kecurian kabel di Jalan Pekan Batu 11, Balakong pada pagi tadi.

Polis terpaksa melepaskan lima das tembakan ke arah tayar kenderaan suspek yang terus bergerak dan cuba mencederakan anggota polis meski sudah diarahkan berhenti.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, kejadian itu berlaku ketika anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang dalam operasi rondaan curi kabel di kawasan itu dalam kejadian kira-kira pukul 6.05 pagi.

"Kami telah menahan empat suspek berusia antara 28 hingga 36 tahun, yang masing-masing mempunyai rekod jenayah dan dadah.

"Dua kenderaan milik suspek turut dirampas serta peralatan yang digunakan untuk mencuri kabel," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa tiada sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa berlaku dalam kejadian ini.

"Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, serta Seksyen 379/511 kanun yang sama bagi cubaan mencuri wayar kabel," tambahnya.

GRACE AISYAH KEDAYAN