fb fb fb fb fb

Rampasan dadah di Kelantan menurun hampir 60 peratus - KP Kelantan

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat (tengah) beramah mesra bersama pengamal media pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kontinjen Kelantan 2025 di IPK Kelantan, hari ini/Foto BERNAMA

KOTA BHARU, 28 April – Rampasan dadah di Kelantan merekodkan penurunan hampir 60 peratus bagi tempoh suku pertama tahun ini susulan penguatkuasaan larangan merentas Sungai Golok melalui pangkalan haram sejak 1 Disember lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, bagi tempoh Januari hingga Mac, rampasan dadah di negeri itu bernilai RM2.23 juta berbanding RM5.28 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

“Penurunan ini satu kejayaan besar bagi pihak polis kerana berjaya menyekat kemasukan dadah dari negara jiran hasil larangan merentas melalui pangkalan haram sepanjang Sungai Golok,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kontinjen Kelantan di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya kini memberi penekanan khusus terhadap usaha menahan penagih dadah tegar atau berulang di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, yang memperuntukkan hukuman penjara mandatori selama lima tahun.

Menurutnya, arahan telah dikeluarkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan semua Ketua Polis Daerah (OCPD) di negeri ini bagi memastikan tindakan tegas diambil terhadap penagih berulang.

“Saya telah arahkan semua OCPD dan JSJN untuk meningkatkan tangkapan di bawah Seksyen 39C, khusus bagi penagih yang ditahan dua atau tiga kali.

"Mereka akan dikenakan penjara mandatori lima tahun. Harapan kita, sepanjang tempoh lima tahun mereka dipenjara, kadar jenayah berkaitan dadah di negeri ini dapat dikurangkan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Yusoff memaklumkan Kelantan merekodkan peningkatan 33.3 peratus kes jenayah penipuan dalam talian bagi suku pertama tahun ini, membabitkan pelbagai modus operandi seperti pelaburan palsu dan panggilan scam.

Sebanyak 356 kes direkodkan sepanjang Januari hingga Mac berbanding 267 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran mencurigakan menerusi panggilan telefon atau mesej dalam talian.

GRACE AISYAH KEDAYAN