KAJANG, 28 April – Dua pemandu lori dan seorang pemilik syarikat ditahan selepas didapati melakukan intimidasi, menghalang dan mengugut anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) semasa operasi di Persiaran Perdana, Putrajaya pada 12 April lalu.
Pengarah Kanan Penguatkuasaan JPJ, Muhammad Kifli Ma Hasan berkata kejadian berlaku ketika anggota JPJ cuba menahan dua lori yang dipercayai membawa muatan berlebihan dari arah Dengkil ke Kajang.
Katanya, semasa cubaan menahan, kedua-dua pemandu bertindak membuang muatan pasir ke atas jalan raya dalam usaha menghalang tindakan penguatkuasaan.
“Apabila kita tahan lori ini, tauke lori telah buka tayar dan merosakkan lori berkenaan termasuk memusnahkan GPS, menyebabkan lori tidak boleh dihidupkan. Kami terpaksa memanggil mekanik untuk menghidupkan lori tersebut, namun apabila mekanik tiba, mereka mengugut supaya tidak membaiki lori itu,” katanya pada sidang media, di sini.
Tambah beliau, JPJ terpaksa berkawal dan bermalam selama tiga hari di lokasi kejadian sebelum berjaya membawa kedua-dua lori ke Stesen Penguat Kuasa Semenyih untuk tindakan lanjut.
Ketiga-tiga lelaki berusia lingkungan 40-an itu kini ditahan di bawah Seksyen 234C Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta APAD 2010).
Kertas siasatan berhubung kejadian telah dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda maksimum RM200,000, penjara hingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali. Selain itu, mereka turut berdepan tindakan di bawah Seksyen 57(3) Akta APAD 2010.
Dalam perkembangan berkaitan, Muhammad Kifli berkata JPJ akan memperkukuh usaha kolaboratif bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membanteras kegiatan samseng jalanan melibatkan pemilik dan pemandu lori yang melanggar undang-undang serta bertindak agresif terhadap penguat kuasa.
Katanya, langkah itu mencerminkan komitmen agensi penguatkuasaan dalam memastikan keselamatan pengguna jalan raya, khususnya berkaitan risiko kemalangan melibatkan kenderaan berat.
Selain kerjasama dengan PDRM, JPJ turut bekerjasama dengan agensi lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (BOMBA), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk menunda kenderaan berat yang enggan memberikan kerjasama semasa pelaksanaan arahan menimbang berat kenderaan.
"JPJ ingin menegaskan bahawa tiada kompromi akan diberikan kepada mana-mana pihak yang mengabaikan keselamatan jalan raya demi keuntungan. Pemilik dan pemandu lori diingatkan untuk memastikan kenderaan sentiasa dalam keadaan selamat dan mematuhi semua peraturan jalan raya. Orang ramai juga digalakkan untuk menyalurkan maklumat berkaitan pemandu atau kenderaan lori yang berbahaya," tegasnya.