ALOR SETAR, 20 Disember - Kira-kira 670 set bubu naga dianggarkan bernilai RM80,000 dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), di beberapa lokasi sekitar perairan Tanjung Dawai hingga Kuala Kedah.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata rampasan itu dilakukan APMM Zon Maritim Kuala Kedah dalam operasi khas selama dua hari pada Isnin dan semalam.
"Semasa rondaan di perairan berkenaan, Maritim Malaysia menemukan pelbagai taktik digunakan bagi mengaburi mata pihak berkuasa termasuk mengubah lokasi semasa pemasangan bubu.
"Pelampung penanda yang mengelirukan turut digunakan seperti botol, bendera, pancang kayu, pelampung kecil, gabus dan tong minyak," katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, penggunaan beberapa alatan Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) tidak berlesen dan tidak diluluskan turut dikesan dipasang pada bubu berkenaan.
Noor Azreyanti berkata ke semua bubu naga yang dirampas dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan mengikut Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985.
APMM tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti melanggar undang-undang dan mengalu-alukan sebarang aduan serta melaporkan aktiviti jenayah atau kecemasan di laut.