fb fb fb fb fb

Lelaki nekad terjun jambatan P.Pinang lepas tetak teman wanita hingga maut

Mangsa berumur 29 tahun ditemukan selamat dengan bantuan komuniti nelayan setempat sebelum dipindahkan ke bot ronda Maritim Pulau Pinang/FOTO Maritim

 BUTTERWORTH, 19 Disember - Seorang lelaki menetak seorang wanita hingga maut dengan sebilah parang di kawasan Raja Uda, Butterworth di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Mohd Asri Shafie mengesahkan mangsa dikenal pasti seorang wanita berusia 42 tahun cedera parah selepas ditetak di bahagian leher oleh lelaki tersebut.

Pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 11.10 pagi.

"Mangsa telah dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan disahkan meninggal dunia pada 11.58 pagi ketika menerima rawatan di hospital.

"Pemeriksaan terhadap mayat menemukan kesan tetakan pada bahagian belakang leher dan bahu kiri si mati.

"Mayatnya dibawa ke Jabatan Forensik HSJ untuk bedah siasat dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh," katanya dalam kenyataan malam ini.

Mohd Asri berkata suspek iaitu lelaki tempatan berusia 29 tahun itu telah berjaya ditahan polis selepas dia nekad terjun ke dalam laut dari Jambatan Pulau Pinang ketika melarikan diri selepas melakukan jenayah tersebut.

"Pasukan polis telah menjalankan siasatan di lokasi kejadian dan terdapat rakaman kamera litar tertutup di kawasan berhampiran yang merakam kejadian tersebut selain saksi yang turut melihat kejadian itu.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menghubungi mana-mana balai polis berdekatan atau pegawai penyiasat ASP Nasrina Darus di talian 04 - 576 2222 (sambungan 2275) bagi membantu siasatan," tambahnya.

Terdahulu, tular di media sosial menunjukkan lelaki itu cuba terjun sekali lagi dari bot biarpun dia telah diselamatkan nelayan ketika mereka dalam perjalanan menghala ke Jeti Pasukan Polis Marin Batu Uban.

GRACE AISYAH KEDAYAN