KUALA KANGSAR, 24 Mei- Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar memerintahkan seorang lelaki yang mencederakan ibu kandungnya menggunakan sepana di Gerik pada Selasa lalu agar menjalani pemeriksaan psikiatri.
Hakim Rohaida Ishak membuat keputusan itu setelah permohonan dikemukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Firdaus Nor Azlan berikutan tertuduh tidak memahami pertuduhan yang dibacakan.
Tertuduh, Mohamad Helmi Hamzah, 29, didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan terhadap mangsa berusia 54 tahun menggunakan sepana sebagai senjata.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Bongor, Gerik pada pukul 6.30 pagi pada 25 Mei lalu.
Terdahulu, pihak pendakwaan memohon agar tertuduh yang tidak diwakili peguam melakukan pemeriksaan di Hospital Tanjung Rambutan bagi mendapatkan status mentalnya.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 324 kanun keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun yang sama.
Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat, atau dengan mana-mana dua hukuman berkenaan.
Mahkamah menetapkan 24 Jun depan untuk menerima laporan psikiatri.