KUALA LUMPUR, 24 Mei - Lima sekeluarga suspek yang disyaki terlibat dalam serangan Balai Polis Ulu Tiram, Johor ditahan semula mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata , penahanan semula semua suspek yang berusia 19 hingga 62 tahun itu dilakukan selepas tamat tempoh reman mereka hari ini.
"Apabila kita telah memanggil saksi kejiranan di Ulu Tiram di rumah berdekatan kita dapati keluarga ini isolated, tidak bercampur dengan orang lain, anak pun tidak bersekolah.. anak perempuan dia tak bersekolah, suspek yang mati ditembak bersekolah sehingga darjah 4, abang dia saja sampai tingkatan 5, kakak pulak darjah 6," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Sebelum ini, dua pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) dibebaskan tanpa syarat setelah mendapati tiada kaitan dengan sebarang jaringan atau mana-mana kumpulan berfahaman radikal.
Tambahnya lagi, pihaknya sentiasa mengambil berat isu kebajikan dan keselamatan pasukan termasuk ke arah meningkatkan aspek logistik dan keselamatan.
"Untuk menentukan kesiapsiagaan anggota, apa yang perlu dari segi logistik dengan memasang kamera litar tertutup CCTV dan pencahayaan di balai terpencil," tambah beliau lagi.
Pada awal pagi Jumaat lalu, dua anggota polis maut termasuk suspek berumur 21 tahun manakala seorang lagi cedera selepas ditembak dan ditetak seorang lelaki yang tidak dikenali di Balai Polis Ulu Tiram pada pukul 2.45 pagi.
Sebelum ini RTM melaporkan Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, terkorban dalam tragedi itu.
Koperal Mohd Hasif Roslan cedera parah pula kini stabil dan masih dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini.