fb fb fb fb fb

Polis tumpaskan sindiket curi kereta mewah, 14 individu diberkas

(FOTO HIASAN)

KUALA LUMPUR, 18 Februari- Polis berjaya menumpaskan sindiket curi kenderaan dengan menahan 14 individu dalam serbuan baru-baru ini.

Kesemua suspek merupakan warga tempatan terdiri daripada 11 lelaki dan tiga wanita berusia antara 22 hingga 43 tahun.

Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya telah menerima 14 laporan polis berhubung satu sindiket kecurian kenderaan mewah di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Pahang dengan menjadikan pusat jualan kereta, bengkel, parking valet dan pusat cucian kereta sebagai sasaran.

"Modus operandi sindiket ini adalah dengan menyamar sebagai pembeli atau pemilik kenderaan dan memperdaya kakitangan untuk menyerahkan kunci kenderaan sebelum bertindak melarikan kenderaan tersebut.

"Sindiket ini menjadikan kenderaan-kenderaan mewah daripada jenama Mercedes Benz, Toyota, Honda dan Volkswagon sebagai sasaran utama selain dikesan pernah mendapatkan khidmat ‘jockey’ untuk menghantar beberapa buah kenderaan yang dicuri ke Thailand melalui sempadan Malaysia/Thailand,"katanya menerusi kenyataan tersebut.

Tambah Datuk Noorsiah, hasil siasatan dan risikan yang dijalankan, Bahagian Risikan Operasi/Rekod (D4), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan kontinjen yang terlibat telah berjaya menahan seramai 14 orang suspek termasuk dalang utama sindiket ini.

"Sebanyak lima buah kenderaan mewah yang dicuri turut berjaya dirampas. Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan.

"PDRM menyeru semua pihak berhati-hati dengan individu yang mengaku sebagai pemilik atau wakil pemilik kenderaan apabila berurusan semasa serahan kenderaan terutama di pusat jualan (show room), bengkel, parking valet dan pusat cucian kereta disamping mengambil langkah keselamatan dengan mengetatkan prosedur serahan kunci dan kenderaan kepada pemilik yang sebenar atau wakil yang sah,"katanya.


(Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin)

Media Baharu