fb fb fb fb fb

Polis terima laporan kes kucing dijerut di belakang kereta

PDRM (Gambar tular)

NIBONG TEBAL, 9 Ogos- Polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian sebuah pacuan empat roda yang tular membawa seekor kucing dalam keadaan terjerut pada leher dan tergantung pada bahagian belakang kenderaan itu di Jalan Merak 5, Simpang Ampat, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Penguasa Polis (SP) Chong Boo Khim berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah SPS menerima laporan berhubung kes tular di media sosial kira-kira pukul 5.29 petang semalam dan pemandu kenderaan itu mendakwa tidak menyedari kejadian tersebut.

"Berdasarkan siasatan awal mendapati pemandu kereta itu yang merupakan lelaki tempatan telah menemukan seekor kucing jalanan di kawasan rumahnya dalam keadaaan tidak terurus dan kemudiannya membawa haiwan tersebut ke sebuah klinik.

"Tujuan lelaki itu membawa kucing tersebut adalah untuk memandulkan haiwan itu dan semasa dalam perjalanan ke klinik, dia tidak menyedari kucing yang diletakkan di bahagian belakang cuba melompat keluar dan tergantung," katanya dalam kenyataan hari ini.

Boo Khim berkata, lelaki itu hanya menyedarinya setelah sampai di klinik haiwan dan terus bertindak membukakan ikatan tali pada leher kucing tersebut.

Kes itu dirujuk ke Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang untuk tindakan lanjut.

Polis juga menasihati orang ramai agar tidak memanipulasikan kes viral yang boleh menyebabkan kekeliruan.

BERITA BERKAITAN

SITI AISHAH MD ISA