fb fb fb fb fb

Kucing tular dijerut leher kini dalam jagaan veterinar

Dr Saira Banu Mohamed Rejab menunjukkan kucing yang dijerut leher sedang diberi rawatan oleh pihak veterinar

BUKIT MERTAJAM, 9 Ogos- Seekor kucing yang tular dalam keadaan terjerut pada leher dan tergantung pada belakang sebuah pacuan empat roda kini dalam jagaan pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang.

Pengarahnya, Dr Saira Banu Mohamed Rejab berkata, haiwan itu juga telah diberi rawatan.

Selain itu, keterangan suspek lelaki berusia 30-an telah diambil dan kenderaan yang digunakan dalam kejadian tersebut juga ditahan untuk siasatan lanjut.

"Susulan aduan berkenaan, JPV membuat satu pemeriksaan awal di lokasi kejadian pada hari sama iaitu pada 8 Ogos (semalam) kira-kira pukul 12.00 tengah hari.

"Bertindak atas maklumat yang diterima JPV berjaya mengesan suspek dalam kes ini.

"Tindakan mengambil milik kucing telah dilakukan bagi tujuan siasatan dan pemeriksaan lanjut serta rawatan oleh pegawai veterinar.

"Kucing itu kini berada di bawah jagaan JPV dan telah diberi rawatan yang sesuai," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JPVPP di sini hari ini.

Saira berkata, kertas siasatan dibuka di bawah perenggan 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 722), sekiranya didapati bersalah boleh didenda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih daripada RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-duanya.

Kertas siasatan akan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk mendapatkan arahan selanjutnya.

Semalam, tular di media sosial gambar kucing yang digantung di belakang sebuah kenderaan di Jalan Merak 5, Simpang Ampat, di sini sehingga mendatangkan kemarahan masyarakat khususnya pencinta haiwan.

0908 JPVPP KUCING DISERET 4
Gambar tular memaparkan keadaan seekor kucing yang terikat pada belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda

SITI AISHAH MD ISA