BUKIT MERTAJAM, 9 Ogos- Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas empat pertuduhan penipuan bagi urusan pembelian rumah tidak wujud.
Tertuduh, A. Thirumurthi, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan curang menipu empat individu membuat bayaran melibatkan lebih RM126,000 secara keseluruhan, untuk urusan pembelian rumah tidak wujud, yang mana kesemua individu berkenaan tidak akan menyerahkan wang tersebut sekiranya tidak diperdayakan.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu antara Oktober 2022 hingga Julai 2023 di empat lokasi berbeza sekitar Seberang Perai Tengah.
Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi kesemua pertuduhan dengan RM5,000 setiap kes. Harith menetapkan 24 September depan untuk sebutan semula kes.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Anis Suhada Rosli.