fb fb fb fb fb

Polis Terengganu rampas mercun tanpa permit bernilai RM12,850

Pelbagai jenis mercun bernilai RM12,850 dirampas hasil serbuan di tiga daerah di negeri ini sejak 12 hingga 23 Mac lalu.

KUALA TERENGGANU, 25 Mac- Polis Terengganu merampas pelbagai jenis mercun bernilai RM12,850 hasil serbuan di tiga daerah di negeri ini sejak 12 hingga 23 Mac lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, daerah Dungun merekodkan kes penjualan mercun tanpa permit tertinggi iaitu sebanyak 11 kes; Kemaman (3) dan Marang (1).

"Dalam serbuan di kesemua daerah berkenaan, kita telah menahan lapan lelaki dan empat wanita berumur antara 29 hingga 64 tahun," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-217 Tahun Peringkat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Terengganu Tahun 2024 di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mazli berkata, setakat ini pihaknya menerima sebanyak 158 permohonan permit penjualan mercun dan bunga api sempena Aidilfitri.

Katanya, daripada jumlah permohonan tersebut, 128 permit diluluskan setelah pemohon melepasi peraturan-peraturan ditetapkan, iaitu melibatkan penjualan 42 jenis bunga api dan mercun yang dibenarkan .

"Permohonan paling tinggi permit tersebut adalah di IPD Dungun iaitu 38 permohonan, diikuti IPD Kemaman 33, IPD Kuala Terengganu 23, dan IPD Hulu Terengganu dengan 15 permohonan.

"Manakala beberapa permohonan ditolak adalah disebabkan rekod jenayah, tempat simpanan tidak selamat dan tidak memberi kerjasama," katanya.
 
Menurutnya, tindakan undang-undang akan dikenakan kepada penjual yang tidak mempunyai permit sah selain ingkar terhadap peraturan ditetapkan.

"Setakat ini kita belum menerima apa-apa laporan mengenai orang awam yang cedera kerana bermain mercun. Jadi kita menasihatkan supaya masyarakat berwaspada selain tindakan tegas akan diambil kepada peniaga yang menjual mercun secara haram dan tanpa permit," ujarnya.

ZEHRA BINTI ZAMBRI