fb fb fb fb fb

Buli: Polis tubuh pasukan petugas khas siasat kematian Muhd Nazrie

Lokasi Mohammad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, ditemukan meninggal dunia, Jumaat lepas

KOTA KINABALU, 25 Mac- Polis menubuhkan satu pasukan petugas khas bagi menjalankan siasatan berhubung kes buli hingga menyebabkan kematian seorang pelajar lelaki di Lahad Datu, Sabah, baru-baru ini.

Pesuruhjaya Polis negeri, Datuk Jauteh Dikun berkata, pasukan itu ditubuhkan bagi memastikan siasatan dijalankan dengan cepat, profesional, telus dan teratur.

"Task force (pasukan khas) ini diketuai oleh Asisten Komisioner Cyril Edward Nuing iaitu Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan dan Perundangan) Sabah untuk membantu memastikan perjalanan siasatan ke atas kes ini dibuat secara cepat, profesional dan teratur.

"Reman 13 individu yang ditahan bagi bantu siasatan akan tamat 29 Mac ini (Jumaat), siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Ada juga beberapa (individu) kita rakam percakapan termasuk warden dan rakan mereka.

"Memang bedah siasat telah dilaksanakan tetapi memandangkan kes ini masih dalam siasatan dan tidak mahu menimbulkan apa-apa spekulasi, pihak polis tidak dapat dedahkan punca kematian berdasarkan hasil bedah siasat itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-217 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di sini hari ini.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Jumaat lepas, Mohammad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, ditemukan meninggal dunia dalam keadaan terbaring di atas lantai dengan kesan kecederaan serta lebam pada beberapa bahagian badan di bilik asrama sebuah kolej vokasional di sini dipercayai akibat perselisihan faham antara pelajar.

Siasatan awal polis mendapati isu kehilangan wang menjadi punca berikutan dua pelajar kolej vokasional itu masing-masing kehilangan wang RM50 serta RM35, dan mangsa kemudian dituduh sebagai pencuri seterusnya mengakibatkan perselisihan faham itu.

Jauteh juga meminta orang ramai supaya tidak menimbulkan sebarang spekulasi atau perkara yang tidak diingini berkaitan kes itu, dan memberikan ruang seluasnya buat polis menyiasat kes itu dengan terperinci.

Beliau berkata insiden berkenaan diharap dapat memberi kesedaran kepada semua pihak terutama golongan muda supaya tidak sewenang-wenangnya melakukan perkara jenayah dan menyerahkan kepada pihak berkuasa sekiranya berdepan sebarang isu.

"Kita kena ulang kali nasihati pelajar dan didik mereka secara berterusan, pihak sekolah melalui pegawai perhubungan sekolah tekankan jangan lakukan jenayah bagi memastikan kejadian ini tidak berulang," katanya.

SITI AISHAH MD ISA