fb fb fb fb fb

Polis Terengganu rampas dadah bernilai RM4.47 juta sepanjang 2023

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli (kiri) melihat motosikal yang akan dilucut hak pada Program Serah Terima Harta Lucut Hak Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Terengganu, di IPK Terengganu/ BERNAMA

KUALA TERENGGANU, 14 Januari- Polis Terengganu berjaya merampas pelbagai jenis dadah keseluruhan bernilai RM4.47 juta sepanjang 2023.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata sebanyak 3,496 tangkapan turut dibuat melibatkan penagih dan pengedar dadah di bawah Seksyen 6, 6B, 12(2), 39A(1) dan 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 pada tahun lepas.

Katanya, jumlah tangkapan tersebut menunjukkan penurunan sebanyak 9.8 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu 3,880 orang.

"Sepanjang tahun lalu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik turut menjalankan tujuh siri Ops Camar bagi membanteras sindiket pengedaran dadah.

"Tangkapan turut melibatkan 35 pengedar dadah di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985," katanya.

Terdahulu, Mazli menyempurnakan Program Serah Terima Harta Lucut Hak Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Terengganu, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Wan Rukman Wan Hassan.

Pada majlis tersebut Mazli turut menyerahkan 15 kenderaan termasuk motosikal dan kereta yang dilucut hak kepada Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran automatif di tujuh sekolah menengah di negeri ini.

Sementara itu Mazli berkata secara keseluruhan sebanyak 62 kenderaan pelbagai jenis berjaya dilucut hak untuk pelupusan sepanjang 2023.

Menurut beliau selain diserahkan kepada sekolah untuk tujuan pembelajaran, kenderaan tersebut juga akan dilelong kepada orang awam pada 22 Januari ini.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI