fb fb fb fb fb

Kerani wanita alami kerugian, terpedaya tawaran kerja sambilan

FOTO HIASAN

KUCHING, 14 Januari - Seorang kerani wanita, 40 tahun rakyat tempatan di Miri, bahagian utara Sarawak kerugian RM60,000 akibat kes penipuan tawaran kerja sambilan daripada aplikasi ‘Asia Shopping’.

Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner (ACP) Alexson Naga Chabu dalam satu kenyataan berkata, mangsa membuat laporan pada Jumaat lepas memberitahu bahawa dia diarahkan untuk membuat urusan jual beli barangan yang tidak wujud melalui aplikasi tersebut selain dijanjikan komisen yang lumayan.

Setelah selesai melakukan semua urusan jual beli dalam talian itu, mangsa yang bekerja di sebuah syarikat swasta cuba untuk membuat pengeluaran komisen yang diperolehnya sebanyak RM5,000, namun gagal berbuat demikian.

"Usaha untuk mengeluarkan hasil komisen tersebut gagal, kononnya mangsa tidak mengikuti arahan ‘Customer Service’. Setelah itu, mangsa telah diarahkan oleh suspek untuk membuat transaksi ke akaun pihak ketiga bagi membolehkan komisen itu dikeluarkan," katanya.

Alexson berkata setelah membuat 11 transaksi ke akaun pihak ketiga, mangsa menyedari dirinya telah ditipu kerana komisen yang dijanjikan masih gagal untuk diperoleh dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu orang awam dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dengan tawaran kerja dalam talian dan segera menghubungi National Scam Response Center di talian 997 sekiranya telah menjadi mangsa penipuan siber.

TETITIA YUSOFF