fb fb fb fb fb

Cubaan seludup daging babi sejuk beku digagalkan JKDM Kelantan

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas sebanyak 12,980 kilogram (kg) daging babi sejuk beku bernilai RM116,820 yang dimuatkan dalam sebuah lori kontena

PASIR MAS, 14 Januari - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas sebanyak 12,980 kilogram (kg) daging babi sejuk beku bernilai RM116,820 selepas menahan sebuah lori di tepi Jalan Kampung Gertak Serong, di sini pada 4 Januari lalu.

Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata menerusi penahanan pada pukul 12.50 pagi itu, dua lelaki yang juga pemandu dan kelindan lori turut ditahan.

"Hasil maklumat dan intipan mendapati, daging babi itu telah dimuatkan di pangkalan haram Mentua, Pengkalan Kubor di Tumpat menggunakan bot atau sampan sebelum diisi ke dalam lori sejuk beku," kata Wan Jamal menerusi kenyataan.
 
Tambah Wan Jamal, pihaknya percaya daging tersebut akan dibawa ke Pantai Barat bagi pasaran tempatan.

Beliau berkata keseluruhan nilai barangan yang dirampas termasuk cukai dan sebuah lori bernilai RM150,000 adalah sebanyak RM313,548.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN