KUALA TERENGGANU, 22 Julai- Lebih 56,232 gram dadah pelbagai jenis dan 2,572.54 liter air ketum serta ubat batuk yang merupakan barang kes narkotik di Terengganu sejak tahun 2001 hingga 2025 diserahkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri untuk dilupuskan.
Kesemua barang terbabit adalah melibatkan kes-kes yang telah pun selesai perbicaraan dan kesemuanya dianggarkan bernilai RM1.1 juta.
Jelas Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairuddin program pelupusan kali ini melibatkan sebanyak 2,999 kertas siasatan, yang terbahagi kepada tujuh daerah di Kontinjen Terengganu.
"Sejak tahun 2001 hingga 2025, kira-kira 24 tahun, kes ini telah melalui proses perundangan dan kini mendapat perintah mahkamah untuk pelupusan barang kes.
Kes ini melibatkan tangkapan di mana suspek telah disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman mengikut peruntukan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Akta Racun 1952," kata Datuk Mohd Khairi kepada pemberita, hari ini.
Beliau ditemui selepas menyempurnakan gimik penyerahan Barang kes Narkotik bagi Program Pelupusan JSJN Kontinjen Terengganu di Perkarangan Ibu Pejabat Kontinjen Terengganu, di sini.
Selain barangan larangan seperti air ketum dan ubat batuk dalam sukatan liter, daun ketum dan pil yaba atau pil kuda pula adalah antara penyumbang tertinggi jumlah bilangan dan berat per kilogram(kg).
Daun ketum mencatatkan berat lebih 29.9kg, pil yaba pula 19.64kg diikuti heroin (2.71kg), syabu (1.9kg), ganja (1.2kg), pil eramin 5 (549 gram) dan pil psikotropik (lebih 220 gram).