SHAH ALAM, 22 Julai - Seorang pegawai kanan imigresen didakwa di Mahkamah Sesyen 1 Shah Alam hari ini atas lima pertuduhan melibatkan aktiviti pengubahan wang haram berjumlah keseluruhan RM933,295 membabitkan lebih 160 transaksi bank dalam tempoh dua tahun.
Tertuduh, Nas Suffian bin Nasrun, 41, yang bertugas sebagai Ketua Timbalan Penolong Pengarah Bahagian Unit Khidmat Pengurusan, Jabatan Imigresen Johor, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Nasir Nordin.
Nas Suffian didakwa terlibat dalam transaksi wang berjumlah RM224,840 dari akaun milik Tee Meng Keong ke dalam akaun milik ibunya, Rasni binti Assan @ Hassan, di CIMB Bank Cawangan Kota Damansara, antara 1 November 2023 hingga 29 Mei 2024.
Pertuduhan kedua pula menyatakan tertuduh menerima wang berjumlah RM297,600 ke dalam akaun peribadinya daripada akaun bank individu sama, antara 19 Oktober 2022 hingga 8 Ogos 2024, melalui 29 transaksi dalam talian.
Tiga lagi pertuduhan melibatkan pemindahan wang hasil aktiviti haram dari akaun milik tertuduh ke akaun pihak ketiga serta akaun lain yang dikendalikannya sendiri.
Kesemua pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 4(1)(a) dan 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana yang lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Siti Amirah Muhammad Ali, menawarkan jaminan sebanyak RM800,000 bersama beberapa syarat tambahan.
Bagaimanapun, peguam Muhammad Zaim Rosli yang mewakili tertuduh memohon agar mahkamah mempertimbangkan jumlah jaminan lebih rendah, iaitu antara RM10,000 hingga RM20,000 bagi setiap pertuduhan.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM100,000 dengan syarat tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri di pejabat SPRM terdekat serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 12 September ini tarikh sebutan semula kes.