fb fb fb fb fb

Polis Terengganu berjaya bongkar seludup motosikal

Polis Kontinjen Terengganu berjaya membongkar penyeludupan motosikal susulan penahanan seorang lelaki di sebuah bengkel di Kampung Padang Luas, Besut

KUALA TERENGGANU, 2 Februari- Polis Kontinjen Terengganu berjaya membongkar penyeludupan motosikal susulan penahanan seorang lelaki di sebuah bengkel di Kampung Padang Luas, Besut semalam.

Kegiatan penyeludupan itu terbongkar hasil pemeriksaan ke atas sebuah rumah yang dijadikan bengkel kenderaan di kampung tersebut. 

Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairudin dalam satu kenyataan memaklumkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Terengganu berjaya membuat rampasan besar susulan laporan polis yang dibuat sebelum ini. 

"Hasil pemeriksaan ke atas bengkel berjaya menemukan 11 buah motosikal jenis Yamaha RX-Z , empat casis dan enam komponen enjin motosikal jenis tidak pasti. Pihaknya percaya kesemua barangan tersebut dibawa masuk dari Thailand tanpa dokumen sah.

"Lelaki 41 tahun yang mengaku sebagai pemilik rumah didapati mempunyai tiga rekod jenayah di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan, Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil dan Seksyen 61 (1) LLPK Langkah-Langkah Pencegahan Khas," katanya.

Hasil siasatan mendapati suspek mengaku terlibat dalam kes yang disiasat manakala ujian saringan air kencing dijalankan ke atasnya adalah negatif.

48 anggota polis termasuk 12 pegawai kanan menjalankan Op Mega Lejang Terengganu bermula 1 hingga 31 Januari lalu. 

Sepanjang tempoh itu 14 buah premis telah diperiksa membabitkan 30 motosikal pelbagai jenama.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI